MBPJ sambung tajaan Wai Ching setahun lagi

10 Jun 2026, 5:07 AM
MBPJ sambung tajaan Wai Ching setahun lagi

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperbaharui perjanjian tajaan dengan pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching bagi tempoh setahun lagi sebagai tanda sokongan terhadap pencapaian atlet itu di pentas antarabangsa.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata perjanjian yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini menyediakan peruntukan RM75,000 bagi membantu Wai Ching menyertai pertandingan larian menara di seluruh dunia serta mengekalkan kedudukannya sebagai atlet terbaik dunia dalam sukan tersebut.

"Tajaan ini turut menggariskan beberapa tanggungjawab Wai Ching termasuk memakai pakaian rasmi berjenama MBPJ semasa pertandingan dan urusan media di dalam serta luar negara.

"Sebagai duta rasmi MBPJ, beliau juga akan mempromosikan inisiatif dan program majlis menerusi pelbagai platform komunikasi selain memberi keutamaan kepada aktiviti berkaitan tajaan ini," katanya pada majlis menandatangani perjanjian tajaan semalam.

Pembaharuan tajaan itu meneruskan kerjasama antara kedua-dua pihak yang selama ini menyaksikan MBPJ memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan kerjaya Wai Ching di peringkat antarabangsa.

Sepanjang tahun lalu, juara dunia itu berjaya meraih 32 gelaran di 14 negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Petaling Jaya di persada dunia.

MBPJ turut mengangkat beliau sebagai duta bandar raya berkenaan bagi memanfaatkan pengaruh serta reputasi antarabangsanya untuk mempromosikan Petaling Jaya, selain menggalakkan penyertaan lebih ramai anak muda dalam sukan larian menara.

Atlet larian menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching bercakap kepada media selepas memperbaharui perjanjian tajaan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 9 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Wai Ching berkata beliau komited menyokong program libat urus komuniti yang dianjurkan MBPJ, khususnya melibatkan pelajar dan golongan muda.

"Saya akan melakukan apa sahaja yang termampu. Saya menantikan peluang untuk mengunjungi sekolah dan menyertai aktiviti yang diaturkan MBPJ. Bila-bila masa saya berkelapangan, saya akan hadir," katanya.

Beliau turut menyatakan keterujaan untuk menyertai lawatan ke sekolah dan program jelajah bersama MBPJ bagi memberi inspirasi kepada generasi muda, selain berharap dapat terus menyumbang kejayaan kepada bandar raya itu menerusi pertandingan yang disertainya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan akan berlepas ke Tokyo, Jepun dalam masa terdekat untuk menyertai pertandingan larian menara di Menara Tokyo.

Walaupun berdepan cabaran peribadi termasuk menjaga bapanya, Wai Ching berkata perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencipta kejayaan.

"Saya belajar banyak perkara daripadanya. Saya akan terus melakukan yang terbaik dan terus melangkah ke hadapan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBPJ atas kepercayaan yang terus diberikan dan berjanji memastikan kerjasama tersebut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.