Soh Wai Ching mahu lahir lebih ramai juara dunia Malaysia

5 Jul 2026, 5:00 AM
Soh Wai Ching mahu lahir lebih ramai juara dunia Malaysia

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kejayaan seseorang atlet wajar dihargai tanpa mengira sama ada mereka bertanding dalam sukan popular atau sukan yang kurang mendapat perhatian, kata pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching.

Juara dunia itu berkata ramai atlet Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, namun pencapaian mereka sering tenggelam kerana bersaing dalam sukan yang kurang mendapat liputan.

Meskipun bersyukur atas sokongan yang diterima sepanjang kerjayanya, penerima Anugerah Olahragawan Selangor 2024 itu percaya pengiktirafan yang lebih meluas mampu menyuntik semangat atlet untuk terus mengejar kecemerlangan.

"Antara impian terbesar saya sekarang ialah membantu melahirkan lebih ramai atlet Malaysia yang mampu bersaing di peringkat dunia," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Soh, beliau kini membimbing beberapa atlet pelari menara negara termasuk pemain ranking ke-10 dunia, Muhammad Hazim Zuhairi Azahari dan Ayman Hakimy Salehuddin, selain giat mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi menyerlah di pentas antarabangsa.

Malah, beliau menyimpan impian untuk melihat seorang lagi atlet Malaysia menggantikannya sebagai pelari menara nombor satu dunia.

"Saya mahu ada rakyat Malaysia menggantikan saya sebagai nombor satu dunia. Itu impian saya kerana ia membuktikan sukan ini terus berkembang dan negara masih mampu melahirkan juara walaupun saya sudah tidak lagi bertanding," katanya.

Berbeza dengan sesetengah atlet elit yang merahsiakan kaedah latihan masing-masing, Soh memilih berkongsi pengalaman dan ilmu agar generasi baharu mampu mencipta pencapaian lebih hebat.

"Ada yang mungkin menganggap ia pelik, tetapi jika tiada siapa mampu mencabar juara, sukan itu tidak akan berkembang. Saya percaya ilmu perlu dikongsi supaya kita sama-sama menjadi lebih baik," katanya.

Mengulas kejayaannya, Soh mengakui pencapaian yang diraih lebih banyak disumbangkan oleh usaha berbanding bakat semula jadi.

"Ramai bercakap tentang bakat, tetapi bagi saya, kejayaan ini datang daripada 95 peratus kerja keras dan hanya lima peratus bakat.

"Perkara yang benar-benar membezakan seseorang ialah disiplin, konsisten hadir berlatih setiap hari dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri," katanya.

Fokus prestasi sebelum fikir ganjaran

Soh turut menasihatkan atlet muda supaya tidak terlalu mengejar ganjaran kewangan pada peringkat awal kerjaya, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi.

Katanya, penaja lazimnya akan datang apabila seseorang atlet membuktikan kemampuan dan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap sukan diceburi.

"Atlet perlu profesional, boleh dipercayai dan bertanggungjawab kerana penaja bukan hanya melabur pada keputusan pertandingan, tetapi juga pada peribadi atlet itu sendiri," katanya.

Mengimbas perjalanan kariernya, Soh berkata beliau pernah menggunakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai penyertaan dalam kejohanan antarabangsa pada awal karier.

Beliau juga menghantar ratusan kertas cadangan penajaan kepada syarikat swasta walaupun kebanyakannya ditolak.

Namun, penolakan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencuba.

"Jangan takut ditolak. Jika satu pintu tertutup, terus ketuk pintu yang lain. Jika benar-benar percaya kepada impian sendiri, jangan berhenti mencuba kerana peluang boleh datang pada bila-bila masa," katanya.

Beliau turut menggalakkan golongan muda supaya sentiasa berasa ingin tahu dan tidak berhenti memperbaiki diri.

"Apa juga bidang yang dipilih, sentiasalah berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita semalam. Jika semua orang mampu menjadi satu peratus terbaik dalam bidang masing-masing, Malaysia pasti menjadi negara yang lebih baik," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.