SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus menggunakan sukan sebagai medium untuk mempromosikan Petaling Jaya di peringkat antarabangsa menerusi pembaharuan perjanjian penajaan dengan jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata kerjasama itu bukan sekadar memberi sokongan kepada atlet, malah membantu memperkenalkan Petaling Jaya kepada masyarakat dunia melalui penyertaan Wai Ching dalam pelbagai pertandingan dan program antarabangsa.
“Perjanjian penajaan selama setahun bernilai RM75,000 sehingga 31 Disember 2026 ini membuktikan komitmen MBPJ dalam mempromosikan Petaling Jaya menerusi pencapaian sukan.
“Wai Ching berjaya mencipta 15 rekod pertandingan selain mencatat satu Rekod Dunia Guinness dan empat rekod dalam Malaysia Book of Records,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian penajaan semalam.
Beliau berkata MBPJ juga mahu menjadikan Petaling Jaya sebagai pusat pembangunan sukan larian menara di Malaysia.
Menurutnya, Wai Ching akan mengendalikan sesi latihan dan bengkel larian menara secara berkala bagi melahirkan lebih ramai atlet muda dalam sukan tersebut.
“Usaha ini akan diperkukuh menerusi penganjuran PJ International Tower Run 2026 pada 21 Jun sempena sambutan ulang tahun ke-20 Petaling Jaya,” katanya.
Acara itu dijangka menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara, selain memperkenalkan sukan larian menara kepada lebih ramai orang.
Mohamad Zahri berkata Wai Ching turut akan mengadakan sesi motivasi di sekolah-sekolah sekitar Petaling Jaya untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada pelajar.
“Kerjasama ini menunjukkan komitmen MBPJ dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi serta meningkatkan imej Petaling Jaya di peringkat antarabangsa,” katanya.








