Selangor tumpu pelancongan budaya, tonjol keunikan semua kawasan

5 Dis 2025, 9:01 AM
Selangor tumpu pelancongan budaya, tonjol keunikan semua kawasan

GEORGETOWN, 5 DIS: Pelancongan seni dan budaya antara fokus penting Kerajaan Selangor bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu tahun depan bertepatan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menurut EXCO pelancongan, kerjasama akan dijalin dengan EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) untuk menonjolkan keunikan budaya Selangor kepada pelawat.

“Setakat ini ramai datang ke destinasi tumpuan pelancongan Selangor tiada perkampungan budaya, kecuali Mah Meri dan itu belum cukup. Kita perlu ada satu perkampungan dan pertunjukan budaya merangkumi semua kawasan.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah sempena Media Cruise Trip 2025 di Swettenham Pier Cruise Terminal pada 4 Disember 2025. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Jadi, kita mahu kerjasama dengan pihak berkenaan supaya kebudayaan Selangor boleh dipamerkan dan disukai bukan sahaja pelancong domestik tetapi antarabangsa,” kata Dato’ Ng Suee Lim pada program Media Cruise Trip 2025 hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penganjuran Pesta Kampung Baru di Pandamaran, Klang pada 24 dan 25 Januari depan yang akan mengetengahkan budaya masyarakat Cina.

“Pesta dua hari satu malam ini membabitkan pertunjukan budaya termasuk perarakan dan makanan masyarakat Cina dari Kampung Baru dan Kampung Bagan seluruh Selangor.

“Saya jemput semua untuk hadir memeriahkan pesta dan alam sendiri keunikan budaya di situ. Penganjuran ini juga salah satu usaha mempromosi pelancongan budaya kita,” katanya.