SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh sektor pelancongan desa sebagai pemacu ekonomi rakyat menerusi pelaksanaan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025), dengan tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Sungai Besar dan Kuala Selangor.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata sektor pelancongan negeri menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 4.14 juta kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga Jun, lebih separuh daripada sasaran 8 juta pelancong bagi tahun ini.
"Ini merupakan pecutan terakhir menjelang kemuncak TMS2025. Tourism Selangor menjangkakan jumlah pelancong akan terus meningkat pada separuh tahun kedua, terutama semasa musim cuti sekolah dan perayaan," katanya.

Beliau berkata, Indonesia dan China kekal sebagai pasaran pelancong tertinggi, diikuti Singapura, Jepun dan India, hasil pelbagai promosi dan program pelancongan komuniti yang dijalankan di seluruh negeri.
Setakat ini katanya, 17 rumah inap desa di seluruh Selangor telah berdaftar di bawah program TMS2025, dengan sambutan sangat menggalakkan termasuk di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam yang dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam pelancongan berasaskan komuniti dan pertanian.
"Masih ramai pengusaha yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Kita kini dalam usaha memutihkan semua rumah inap supaya mereka yang aktif dalam industri dapat berdaftar secara sah serta layak menerima bantuan dan insentif disediakan kerajaan.
"Pendaftaran ini penting bagi memastikan aspek keselamatan pelancong terjamin dan mutu penginapan menepati piawaian," jelasnya.

Tambah Suee Lim, Tourism Selangor komited membantu semua penggiat industri termasuk pengusaha inap desa, perusahaan kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga tempatan supaya sektor pelancongan memberi kesan ekonomi secara langsung kepada rakyat.
"Kita mahu semua pengusaha bergerak seiring, memajukan industri ini secara inklusif agar mampu menjana ekonomi yang lebih pesat dan mampan di Selangor," ujarnya.
Data menunjukkan prestasi pengunjung domestik mencatat pertumbuhan kukuh 55.3 peratus berbanding 2024, manakala pelancong antarabangsa menurun 8.5 peratus meskipun menunjukkan pemulihan pada Mei dan Jun.
Tourism Selangor menjelaskan trend tersebut turut dipengaruhi promosi berterusan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 seperti kempen "Pusing Selangor Dulu" dan "Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!"
Laporan juga menunjukkan peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan pengalaman dan nilai warisan berbanding aktiviti hiburan semata-mata.








