SPR tentukan kerusi DUN Lamag susulan pemergian Bung Moktar

5 Dis 2025, 4:20 AM
SPR tentukan kerusi DUN Lamag susulan pemergian Bung Moktar
SPR tentukan kerusi DUN Lamag susulan pemergian Bung Moktar

KOTA KINABALU, 5 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menentukan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag selepas penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia, kurang seminggu selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk James Ligunjang menjelaskan, keadaan itu berlaku kerana Allahyarham belum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di hadapan Speaker DUN Sabah.

“Dalam situasi ini, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan.

“Ia berada dalam bidang kuasa SPR untuk menentukan kedudukannya sama ada memerlukan pilihan raya kecil atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Mengulas kedudukan Bung Moktar sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, James berkata pilihan raya umum perlu diadakan selewat-lewatnya pada atau sebelum 20 November 2027.

Katanya, jika tempoh itu berbaki kurang dua tahun, maka undang-undang sedia ada memperuntukkan pilihan raya kecil Parlimen tidak perlu diadakan, namun perkara tersebut tertakluk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Pada PRN Sabah baru-baru ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.

Allahyarham yang berusia 66 tahun meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi.