PRK Parlimen Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari

16 Dis 2025, 5:03 AM
PRK Parlimen Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag pada 24 Januari

PUTRAJAYA, 16 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 24 Januari 2026.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Januari dan 20 Januari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Menara SPR di sini hari ini.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Ramlan berkata daftar pemilih bagi PRK berkenaan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis yang merupakan pengundi awal.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi mengadakan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag berjumlah RM10 juta. 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang diadakan 29 November lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.

Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.

- BERNAMA