4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung

4 Dis 2025, 1:08 PM
4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung
4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung
4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung
4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung
4,000 baucar Buku Kita Selangor diagih, promosi menarik gamit pengunjung

SHAH ALAM, 4 DIS: Hampir 4,000 baucar Buku Kita Selangor diagihkan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025.

Ketua Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Zafrullah Aris berkata baucar bernilai RM20 terhad untuk 5,000 pengunjung itu diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kurang berkemampuan.

“Sejak penganjuran hari pertama, sambutan diterima menggalakkan, namun agihan baucar ini terhad dan hanya diedarkan kepada kelompok sasaran sahaja terutama pelajar.

“Bagaimanapun, pempamer menyertai SIBF 2025 sudah mula menawarkan diskaun dan promosi menarik kepada pengunjung,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Zafrullah Aris di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 4 Disember 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

SIBF 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City sehingga 7 Disember nanti dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Anjuran PPAS, acara itu menyediakan 400 reruai untuk 200 peserta pameran tempatan dan antarabangsa seperti China, India, Turkiye, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu (UAE). Jemputan khas negeri tahun ini adalah Guangdong, China dan Tamil Nadu, India.

Sementara itu, Ketua Penerbit Rabak Lit, Izzat Amir berkata beberapa judul buku terbitannya bakal dihentikan bagi memberi ruang kepada penerbitan buku baharu pada masa akan datang.

“Beberapa buku bakal dihentikan penerbitan tetapi sempena acara ini, kita buat cetakan akhir khas untuk peminat, tidak dijual lagi termasuk atas talian.

Ketua Penerbit Rabak Lit, Izzat Amir ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 4 Disember 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Sempena acara ini, kita bawa lebih 60 tajuk buku antaranya Rebel Playlist dan Pemberontak Filem. Jangan lepaskan peluang mendapatkan naskhah ini di SIBF 2025,” katanya.

Bagi Eksekutif Pemasaran Kualiti Books Sdn Bhd, Mohd Izzat Azizi Mohd Azahari selain buku aktiviti, tiga komik dibawa khas khusus untuk kanak-kanak.

“Tiga komik dibawa adalah Ejen Ali, Mobile Legend dan Sherlock Holmes. Ejen Ali antara tarikan utama dan penerbitan komik ini sebahagian usaha galak kanak-kanak membaca,” ujarnya.

Mohd Izzat Azizi Mohd Azahari menunjukkan buku yang dijual di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 4 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Bagi penjawat awam, Nur Idayu Rosli,35, beliau dan suami mengambil cuti khas untuk membawa lima anak ke pesta itu bagi mendapatkan buku diminati.

“Anak-anak maklumkan bulan lepas hendak datang ke pesta buku, saya dan suami putuskan untuk ambil cuti kerana mereka semua memang minat membaca.

Penjawat awam Nur Idayu Rosli ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 4 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Ini merupakan kali pertama saya hadir dan sangat menarik kerana pelbagai buku boleh didapati dan anak-anak gembira,” katanya.