PPAS nafi terlibat kontroversi Anugerah Buku Negara, plagiat di SIBF 2025

10 Dis 2025, 10:01 AM
PPAS nafi terlibat kontroversi Anugerah Buku Negara, plagiat di SIBF 2025

SHAH ALAM, 10 DIS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang isu kontroversi berkaitan penganjuran Anugerah Buku Negara 2024-2025 serta keberadaan buku plagiat sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025.

Sebagai urus setia rasmi SIBF 2025, PPAS memaklumkan pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran negatif di media sosial berhubung penggunaan nama Perdana Menteri serta dakwaan penganugerahan kepada individu yang dipertikaikan kredibilitinya.

Menurut kenyataan PPAS, pihaknya tidak terbabit langsung dalam proses pemilihan, penjurian mahupun pengurusan teknikal penganjuran anugerah tersebut yang diadakan di lokasi aktiviti pentas SIBF 2025.

“Pihak urus setia SIBF 2025 sekadar menyediakan ruangan aktiviti pentas tidak berbayar kepada organisasi yang difikirkan sesuai dan mempunyai tema berkaitan SIBF 2025, memandangkan anugerah ini pernah dianjurkan pada 2023 di UPSI,” kata PPAS.

Mengulas isu keberadaan buku plagiat di SIBF 2025, pihak urus setia menjelaskan perkara itu berlaku di luar kawalan serta bukan di bawah bidang kuasa mereka sebagai penganjur acara.

Bagaimanapun, tindakan segera telah diambil apabila pihak urus setia memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Nilai integriti adalah sangat penting dan kita harus sama-sama memelihara amanah ini dengan penuh tanggungjawab memandangkan perkara ini mencerminkan hasil karya yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang penulis yang dipercayai memplagiat hasil karya penulisan individu lain dan dipilih sebagai penerima Anugerah Buku Negara 2024-2025 di SIBF 2025.

Penularan kontroversi tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang mempertikaikan kredibilitinya sebagai penerima anugerah.