SHAH ALAM, 30 NOV: Ibu bapa digesa segera mendaftarkan anak istimewa sebagai orang kurang upaya (OKU) agar mereka memperoleh kad pengesahan dan tidak tercicir daripada bantuan serta peluang pembelajaran.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata kegagalan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyukarkan golongan istimewa itu menerima bantuan dan perkhidmatan sewajarnya.
“Berdasarkan rekod, bilangan pendaftaran anak istimewa di Selangor mencecah 147,000 tetapi jumlah ini masih kecil dibanding sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 15 peratus daripada populasi.
“Ada sebahagian ibu bapa yang tidak mahu berdaftar tetapi mengambil jalan apabila anak disahkan OKU, ada simptom dan hantar ke pusat terapi. Proses mengambil masa tetapi apabila tidak berdaftar kita tidak boleh salurkan bantuan.
“Malah, ada pula yang tidak daftar kerana khuatir tidak boleh masuk sekolah biasa atau berkaitan insurans. Pelbagai keputusan diambil ibu bapa, tetapi sebagai kerajaan kita hendak bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Modul Panduan Intervensi dalam Mendidik Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa (MANIS) sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Danial yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju mematuhi penyediaan kemudahan OKU seperti ditetapkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“PLANMalaysia telah menggariskan satu panduan khusus dan tugas PBT dan pemaju patuh dalam melaksana segala infrastruktur mengikut ketetapan dan syarat.
“Mungkin ada yang sambil lewa sedangkan laluan ditetapkan ini mengambil kira ukuran sebenar. Kita berharap kedua-dua akur dengan ketetapan dan tidak perlu tunggu untuk dikompaun,” katanya.


