Amaran hujan lebat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor hingga 6 petang

4 Dis 2025, 9:13 AM
Amaran hujan lebat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor hingga 6 petang

SHAH ALAM, 4 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga 6 petang ini.

Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka berlaku di Perak, meliputi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Di Pahang, kawasan yang terlibat ialah Raub dan Bentong, manakala di Selangor, amaran melibatkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Beberapa kawasan di Negeri Sembilan turut dijangka mengalami cuaca sama iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin, selain seluruh Melaka.

Di Johor, amaran melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara itu, di Sarawak, kawasan terjejas termasuk Bau, Kuching, Serian, Sri Aman, Meradong, Sibu, Selangau, Tanjung Manis, Daro, Song, Bintulu dan Subis.

Di Sabah, amaran melibatkan Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Kinabatangan.

MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm sejam, sama ada ia sedang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.

Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek dan hanya sah dalam tempoh maksimum enam jam bagi setiap keluaran berdasarkan keadaan cuaca semasa.