43 premis makanan, 15 tandas awam terima pengiktirafan terbersih MBPJ

4 Dis 2025, 7:59 AM
43 premis makanan, 15 tandas awam terima pengiktirafan terbersih MBPJ
43 premis makanan, 15 tandas awam terima pengiktirafan terbersih MBPJ
43 premis makanan, 15 tandas awam terima pengiktirafan terbersih MBPJ

SHAH ALAM, 4 DIS: Sebanyak 43 premis makanan dan 15 tandas awam menerima pengiktirafan terbersih daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi tahun ini.

Timbalan Datuk Bandarnya Aznan Hassan berkata penilaian dibuat berdasarkan pencapaian tahap kebersihan gred A bagi premis makanan, manakala tandas awam dinilai mengikut penarafan bintang Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

Menurutnya, penganugerahan itu bertujuan mengiktiraf pengusaha premis makanan dan pengendali tandas awam yang mencapai standard terbaik BMW selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan secara berterusan.

“Penjagaan tandas awam memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan transformasi daripada tandas kurang memuaskan kepada tandas bertaraf BMW dapat direalisasikan.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan bercakap kepada media ketika Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2025 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 4 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“MBPJ komited mewujudkan persekitaran yang selamat, hijau dan bersih selaras aspirasi masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih MBPJ 2025 di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Aznan berkata penilaian bukan sahaja dibuat oleh pegawai MBPJ tetapi turut melibatkan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Kebersihan premis makanan bukan sahaja menjamin kesihatan, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memperkukuh imej bandar raya sebagai destinasi pelancongan.

“Diharap anugerah ini menjadi pemangkin untuk mencapai aspirasi Malaysia Madani melalui penyediaan tandas BMW di seluruh Petaling Jaya, selain memupuk pengurusan kebersihan dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat,” katanya.