KLANG, 4 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperkenalkan pelan pencegahan banjir terbaharu menumpukan tiga strategi utama.
Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata pendekatan itu merangkumi perancangan pembangunan dan infrastruktur secara mampan, pengurusan sisa yang lebih bersepadu serta pengukuhan aspek penguatkuasaan.
"Melalui strategi ini, pembangunan bandar, pengurusan sampah serta penguatkuasaan peraturan dapat dilaksanakan secara sistematik bagi mengurangkan risiko banjir jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Pelan pencegahan banjir ini akan dijadikan dokumen rujukan utama untuk merancang dan melaksanakan projek pencegahan banjir di seluruh kawasan MBDK secara komprehensif dan berkesan," katanya ketika berucap dalam sesi libat urus Penyediaan Pelan Pencegahan Banjir di Bangunan MBDK, di sini hari ini.
Katanya, ia juga mengandungi projek dan program utama antaranya penaiktarafan perparitan, pembinaan kolam tadahan, pemasangan pam banjir serta program pembersihan persisir sungai melalui Program Cintai Sungai Klang.
"Usaha-usaha yang dilaksanakan ini selaras matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu SDG 1, SDG 2, SDG 3, SDG 4, SDG 5, SDG 6 dan SDG 7, Rancangan Malaysia Ke-12, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan Rancangan Tempatan Bandaraya Diraja Klang 2035," tambah beliau.
Dalam masa sama, Abd Hamid berkata MBDK turut mengambil kira kawasan panas dan berisiko banjir serta input daripada agensi teknikal dalaman dan luaran seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pelan yang dirangka dengan penglibatan ramai pakar memberikan kesan terbaik.
"Semua sedia maklum kawasan pentadbiran MBDK tidak terlepas daripada cabaran pemanasan global, menyebabkan kejadian banjir kerap berlaku akibat pembangunan pesat, peningkatan kawasan berturap, taburan hujan tinggi serta kelemahan penyelenggaraan saliran.
"Antara kawasan yang kerap berlaku banjir termasuk Meru, Bukit Kapar, Bandar Bukit Raja dan Bandar Putera. Jadi, pelan pencegahan banjir bersepadu amat diperlukan demi menjaga keselesaan masyarakat setempat," ujarnya.
Beliau menjelaskan sesi libat urus pada hari ini memberi peluang kepada penduduk dan wakil pihak berkepentingan untuk memberi serta mengusulkan cadangan bagi memastikan pelan pencegahan banjir dilaksanakan secara inklusif.
"Saya berharap pelan ini menjadi dokumen rujukan untuk semua pihak dalam merancang dan melaksanakan projek pencegahan banjir secara berkesan bukan hanya membabitkan jangka masa pendek, malah jangka masa panjang," katanya.
Terdahulu, sesi libat urus yang berlangsung pada pukul 8 pagi hingga lima petang itu disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN), Ahli Majlis, wakil agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersempadan dan komuniti setempat bagi memastikan pelan disediakan secara inklusif termasuk berpandukan keperluan penduduk.
Sebelum ini, Klang mencatat lebih 20,000 mangsa terkesan akibat banjir sejak lima tahun lalu khususnya di Meru, Bukit Kapar dan Bandar Bukit Raja, menjadikan pelan bersepadu tiga hala ini amat penting untuk keselamatan dan kelangsungan pembangunan bandar.





