Anak yatim sertai misi bantuan banjir Yide, semai semangat sukarelawan muda

4 Dis 2025, 5:06 AM
Anak yatim sertai misi bantuan banjir Yide, semai semangat sukarelawan muda
Anak yatim sertai misi bantuan banjir Yide, semai semangat sukarelawan muda
Anak yatim sertai misi bantuan banjir Yide, semai semangat sukarelawan muda

SHAH ALAM, 4 DIS: Penglibatan anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni (RAY), Paya Jaras dalam misi bantuan mangsa banjir anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) membantu menyemai semangat kesukarelawanan dan empati sejak usia muda.

Menurut Yide, program yang berlangsung pada 2 Disember lalu memberi peluang kepada peserta menyantuni mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang dan KAFA Al-Hidayah sambil mengagihkan bantuan keperluan asas.

“Antara bantuan disalurkan ialah Pek Prihatin merangkumi selimut, tuala, t-shirt, sabun mandi, kain pelikat, kain batik, ubat gigi dan berus gigi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Wakil Yide, Jamaludin Wahab dan Pengurus Rumah Kasih Harmoni turut hadir bagi menyampaikan sokongan moral kepada mangsa terjejas.

Yide menjelaskan, penyertaan anak-anak yatim itu bukan sahaja memberi khidmat kepada masyarakat, malah memupuk nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan kefahaman terhadap realiti hidup mangsa musibah.

“Peserta turut diberi bimbingan mengenai kepentingan membantu golongan memerlukan sebagai tuntutan agama dan akhlak mulia. Menyantuni mereka yang lemah serta berbuat ihsan adalah amalan terpuji,” katanya.

Dalam masa sama, Yide merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) atas kerjasama memastikan kelancaran misi.

“Diharapkan program sebegini dapat menyuburkan nilai murni dalam diri peserta agar mereka membesar sebagai insan yang cakna, prihatin dan penyayang,” jelasnya.