Permohonan baharu lesen niaga MPKL kini dibuka, elak tunggu saat akhir

4 Dis 2025, 4:43 AM
Permohonan baharu lesen niaga MPKL kini dibuka, elak tunggu saat akhir

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan permohonan pembaharuan lesen perniagaan bagi sesi 2026 dibuka sejak 3 November hingga 31 Disember depan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan peniaga boleh berbuat demikian di Ruang Legar Pejabat MPKL atau di kaunter On Wheel.

"Kaunter di pejabat MPKL beroperasi setiap hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, manakala kaunter On Wheel dibuka dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

"Pemilik lesen digalakkan membawa lesen 2025 bagi memudahkan proses," maklum MPKL dalam kenyataan di Facebook.

MPKL menasihatkan pemilik lesen menyemak syarat mengikut jenis perniagaan terlebih dahulu bagi memastikan urusan berjalan lancar.

Pemilik lesen kategori Serta Merta digalakkan menggunakan portal dalam talian ehasil.mpkl.gov.my bagi mempercepatkan proses pembaharuan.

MPKL menegaskan kegagalan memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan serta denda lewat.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter," pesannya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui Jabatan Pelesenan MPKL di talian 03-38530317 atau WhatsApp di talian 012-300 4167