SHAH ALAM, 4 DIS: Program Recycle Day 2025 anjuran bersama Ingress Technologies dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dilaksanakan bagi memupuk amalan kelestarian serta kesedaran pengurusan sisa dalam kalangan komuniti dan pekerja industri.
Program yang berlangsung di Ingress Technologies, Bukit Beruntung itu menampilkan sesi perkongsian mengenai kesan penghasilan sampah terhadap peningkatan suhu bumi selain kepentingan memastikan barangan kitar semula dihantar melalui saluran yang betul.
MPHS menerusi Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom) turut membuka reruai pengumpulan minyak masak terpakai (UCO) dan berjaya mengumpul 56.35 kilogram hasil penyertaan pekerja.
“Ingress Technologies turut mempunyai pusat kitar semula pandu lalu automatik (ADTREC) Trash4Cash sebagai usaha berterusan menggalakkan pekerja mengamalkan budaya kitar semula dalam rutin harian,” menurut pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.
Program berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar Ingress Technologies, Hasmizan Khamis yang menyatakan komitmen syarikat dalam menyokong inisiatif kelestarian selari amalan Environmental, Social & Governance (ESG).
MPHS berharap program seumpama itu dapat diperluas bagi membina komuniti lebih prihatin, bersih dan mampan di Hulu Selangor.



