SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao menggesa Kerajaan Negeri memanfaatkan momentum semasa Tahun Melawat Selangor (TMS2025) dengan memperkukuh promosi pelancongan Kampung Baru serta produk tempatan bagi menyokong persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur di sebahagian besar Kampung Baru menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, justeru membuka peluang baharu untuk menarik lebih ramai pelancong dan mengangkat identiti komuniti setempat.
“Saya mencadangkan supaya Tourism Selangor memperhebatkan promosi Kampung Baru. Dalam masa sama, penduduk, jawatankuasa kampung, wakil rakyat dan pertubuhan setempat juga perlu bekerjasama kerana setiap daerah mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan,” katanya kepada Media Selangor.

Pang menegaskan penduduk tempatan ialah sumber dan sokongan paling penting dalam menjayakan pelancongan Kampung Baru, kerana penglibatan mereka mampu menambah nilai kepada warisan budaya serta memberi kehidupan baharu kepada komuniti setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan iklim dan kejadian banjir kilat masih merupakan cabaran utama yang perlu ditangani segera.
“Sistem perparitan lama perlu diganti sepenuhnya. Sementara itu, projek tebatan banjir berskala besar yang melibatkan kos tinggi memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau, punca banjir kilat di setiap kawasan perumahan berbeza, justeru kerja naik taraf perparitan dan pencegahan banjir perlu dirancang mengikut keadaan sebenar supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Lwi Kian Keong: Tambah peruntukan sekolah pelbagai aliran
Dalam perkembangan berkaitan, ADN Sungai Pelek, Lwi Kian Keong menyeru Kerajaan Negeri menambah peruntukan bagi sekolah pelbagai aliran dalam Belanjawan Selangor 2026.
Katanya, penambahan dana diperlukan untuk menambah baik kemudahan asas, memperkukuh latihan guru dan meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran.
“Saya berharap belanjawan kali ini membawa berita baik, terutama naik taraf infrastruktur asas, mempercepat projek pembaikan jalan raya serta meningkatkan kemudahan awam,” jelasnya.

Lwi turut mencadangkan agar negeri meningkatkan peratusan peruntukan pembangunan berbanding pentadbiran supaya lebih banyak dana boleh disalurkan terus kepada projek komuniti.
“Ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah mendorong kemajuan sosial dan memastikan kemakmuran Selangor berkekalan,” katanya.
Belanjawan Selangor 2026 akan dibentang 14 November ini, dengan tumpuan kepada ketahanan fiskal, pembangunan modal insan dan pengukuhan kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan belanjawan tersebut adalah belanjawan peralihan yang menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan meletakkan asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan diumumkan tahun hadapan.





