SHAH ALAM, 4 DIS: Ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 2023 dan tahun lalu.
Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan lektrik bernilai masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan sementara Albert diwakili peguam, Latheefa Koya.


