SHAH ALAM, 15 DIS: Polis Selangor setakat ini belum menemui sebarang bukti yang menyokong dakwaan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa penahanan ahli perniagaan, Albert Tei, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima satu laporan daripada seorang wanita pada 28 November lalu berhubung insiden berkenaan.
Menurut beliau, laporan tersebut mendakwa pasukan penguat kuasa SPRM telah menjalankan serbuan dan tangkapan terhadap suami pengadu mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
“Pengadu turut mendakwa semasa operasi dijalankan, salah seorang anggota SPRM sudah mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami.
“Sehingga hari ini, siasatan pihak polis tidak menemui keterangan atau bukti yang boleh mengesahkan dakwaan pengadu. Siasatan masih berlangsung dan kita masih mencari serta mengumpulkan keterangan dan bukti-bukti yang lain.
“Susulan itu, polis membuka satu kertas enkuiri polis (KEP) bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan siasatan akan dilaksanakan secara telus serta profesional berpandukan peruntukan undang-undang,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut Shazeli, setakat ini ramai saksi berkaitan telah dipanggil untuk dirakam keterangan, namun keluarga pengadu masih belum diambil keterangan kerana berada di luar kawasan.
“Mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan dan mereka juga memberi komitmen membantu.
“Semua pihak terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi memastikan setiap dakwaan diteliti dengan sewajarnya.
“Polis menyeru orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan polis turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman pengadu untuk tujuan semakan dan pemeriksaan lanjut.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menafikan dakwaan pegawainya mengacukan senjata ke arah Albert Tei ketika penahanan dibuat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung tuduhan tersebut yang disifatkan sebagai fitnah terhadap agensi berkenaan.


