KUALA LUMPUR, 3 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini merakam keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bagi membantu siasatan dua kes di Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kes pertama membabitkan siasatan berhubung laporan artikel Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.
Beliau berkata kes kedua pula berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan iaitu Albert Tei.
Kumar berkata rakaman keterangan Azam dibuat mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat untuk nasihat dan arahan selanjutnya.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PDRM komited untuk memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan dan tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa.








