SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bersama ahli perniagaan, Albert Tei, tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.05 pagi bagi menghadapi lima pertuduhan rasuah.
Kedua-duanya hadir dengan diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka tidak bergari ketika dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pada sidang media berkata, kedua-dua individu itu bakal berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
Beliau berkata, pertuduhan membabitkan Seksyen 17(a) Akta SPRM bagi kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) bagi kesalahan memberi suapan, manakala siasatan terhadap kedua-duanya dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Shamsul Iskandar dan Tei direman enam hari bermula 29 November lalu, selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan.
Kes itu berkaitan dakwaan bahawa Tei memberi rasuah kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula sejumlah dana yang dikatakan telah diagih kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.


