SHAH ALAM, 3 DIS: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei masing-masing berdepan lima pertuduhan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
Menurutnya, Shamsul Iskandar akan berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan menerima rasuah, manakala Albert Tei akan dituduh di bawah Seksyen 17(b) akta sama kerana memberi rasuah.
“Bagi satu lagi pertuduhan masing-masing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong tidak dituduh di mahkamah dan diklasifikasikan sebagai saksi dalam kes,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini seperti dilapor Sinar Harian.
Azam turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap kes itu dijalankan secara intensif dengan 32 saksi dipanggil bagi membantu siasatan dalam tempoh seminggu.
“Dalam tempoh seminggu siasatan saya merakamkan penghargaan kepada pegawai yang menjalankan tugas dan seramai 32 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan tidak termasuk tiga individu (Shamsul, Albert, Sofia) terbabit,” katanya.
Beliau berkata SPRM bertindak membuka kertas siasatan pada 26 November lalu selepas menilai kepentingan awam memandangkan kes membabitkan seorang bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri serta mendapat liputan meluas.
“Kita telah buka kertas siasatan di bawah Akta SPRM 2009. Atas keperluan itu saya arahkan jalankan siasatan dan keluarkan kenyataan bahawa kes perlu disiapkan dalam tempoh seminggu,” ujarnya.


