Shamsul Iskandar didakwa empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829

4 Dis 2025, 2:06 AM
Shamsul Iskandar didakwa empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829

SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Faham (pertuduhan), tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan," katanya.

Mengikut dua pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai seorang ejen kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa bersetuju menerima suapan sebanyak RM100,000 dan memperoleh RM40,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

Bagi dua lagi pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa menerima kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, hakikatnya perbuatan itu tiada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.