Jais lepaskan 30 tan abu al-Quran di perairan Pelabuhan Klang

3 Dis 2025, 9:04 AM
Jais lepaskan 30 tan abu al-Quran di perairan Pelabuhan Klang
Jais lepaskan 30 tan abu al-Quran di perairan Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 3 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melaksanakan pelepasan 30 tan abu al-Quran di perairan Pelabuhan Klang berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor minggu lalu sebagai sebahagian usaha memuliakan mushaf yang telah dilupuskan.

Jais memaklumkan proses itu dijalankan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Wilayah 1, Pelabuhan Klang.

“Program ini bertujuan untuk memuliakan abu al-Quran melalui kaedah pelepasan bongkah abu sebanyak 30 tan ke laut menggunakan kapal operasi pasukan Polis Marin.

“Kaedah ini dipilih bagi memastikan pengurusan abu al-Quran yang telah dilupuskan dilakukan secara tertib dan berhemah selaras dengan garis panduan pengurusan mushaf rosak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Jais, program seumpama itu diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan memuliakan al-Quran serta adab dalam mengurus bahan mengandungi ayat suci.

Katanya, langkah tersebut sekali gus memastikan proses pemuliaan al-Quran dilaksanakan mengikut adab dan ketetapan syarak.