PDRM, JAIS sempurnakan pelepasan abu al-Quran di perairan Pulau Angsa

10 Jun 2026, 8:00 AM
PDRM, JAIS sempurnakan pelepasan abu al-Quran di perairan Pulau Angsa
PDRM, JAIS sempurnakan pelepasan abu al-Quran di perairan Pulau Angsa

SHAH ALAM, 9 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan pelepasan bongkah abu al-Quran serta bahan penerbitan mengandungi ayat suci al-Quran ke perairan Pulau Angsa sebagai usaha memelihara kesucian Kalamullah.

Program Pemuliaan dan Pelepasan Bongkah Abu al-Quran itu disempurnakan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pelabuhan Klang, sebelum bongkah abu berkenaan dilupuskan di perairan kira-kira 20 batu nautika dari jeti PPM.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata proses pelupusan dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan bagi memastikan ia berjalan secara teratur, selamat dan penuh penghormatan.

Menurutnya, tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran tidak terletak kepada institusi agama semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran serta penglibatan semua pihak.

"Al-Quran merupakan Kalamullah yang wajib dipelihara kesuciannya dan menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk menghormati serta menguruskan naskhah yang rosak atau usang dengan penuh penghormatan," katanya menerusi kenyataan di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, program berkenaan membawa mesej bahawa Islam bukan sahaja mengajar umatnya menggunakan sesuatu yang baik, malah turut mengajar cara mengurus dan mengakhirinya dengan penuh adab serta tertib.

Pada masa sama, Penolong Pegawai Pemerintah Kapal Ronda, Inspektor Zamri Sa'an menyampaikan taklimat kepada peserta dan sukarelawan berhubung kaedah pelepasan abu ke laut serta aspek keselamatan dan kecemasan ketika pelayaran.

Turut hadir Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, ACP Jaffri Bidin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, Muhamad Sujak Muhammad Dasuki, Pengarah QAF International Sdn Bhd, Lt Kol (B) Mohd Rahib Mohd Isa serta Timbaln Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.