MBPJ disaran semak semula 'zoning' ahli majlis, elak beban kerja tak seimbang

3 Dis 2025, 6:52 AM
MBPJ disaran semak semula 'zoning' ahli majlis, elak beban kerja tak seimbang

PETALING JAYA, 2 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disaran menyemak semula pengagihan zon ahli majlis bagi memastikan keadilan dari segi beban kerja serta kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Ahli Majlis Zon 24, Farhan Shah Ridzuan berkata, pengagihan semasa tidak mencerminkan beban tugas sebenar kerana terdapat perbezaan ketara dari segi jumlah penduduk, saiz kawasan dan guna tanah antara satu zon dengan yang lain.

"Sebagai contoh, penduduk Zon 1 hampir 15 kali ganda lebih tinggi berbanding Zon 16, manakala Zon 24 lebih empat kali ganda berbanding Zon 10," katanya dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, Zon 1 meliputi Damansara Perdana, Bandar Sri Damansara dan Damansara Damai dengan penduduk seramai 149,079 orang, manakala Zon 16 meliputi Seksyen 18, Seksyen 1 dan Seksyen 1A hanya mempunyai 9,700 orang penduduk.

Zon 24 yang meliputi PJS 5, PJS 6, PJS 8 dan PJS 10 pula mempunyai 41,153 penduduk berbanding Zon 16 (Seksyen 16 dan Seksyen 17) dengan 9,939 orang penduduk.

Farhan menegaskan jurang besar ini memberi impak terhadap keupayaan ahli majlis menjalankan tugas, khususnya dari segi kehadiran ke lapangan, kadar respons terhadap aduan, dan penyelenggaraan infrastruktur.

Zon berkepadatan tinggi seperti Zon 24 juga menghadapi cabaran tambahan kerana melibatkan kawasan PJS 6, Kampung Lindungan serta Pangsapuri Desa Mentari, antara komuniti paling padat di Petaling Jaya.

"Selain beban pentadbiran harian, zon berkepadatan tinggi turut berhadapan cabaran berkaitan agihan peruntukan Ahli Majlis, di mana jumlah Persatuan Penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan komuniti setempat yang lebih besar menyebabkan peruntukan terpaksa dibahagikan kepada lebih ramai penerima," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar semakan zon mempertimbangkan lima faktor utama, iaitu kepadatan penduduk, keluasan geografi, komposisi guna tanah, bilangan PPR serta keperluan tenaga kerja mengikut beban kerja.

Farhan percaya langkah itu bukan sahaja akan menjadikan pentadbiran lebih adil, malah membolehkan setiap Ahli Majlis menumpukan tugas mengikut keperluan sebenar di zon masing-masing.

"Saya juga yakin pelaksanaan semakan semula ini akan menghasilkan pengagihan tanggungjawab pentadbiran yang lebih adil dan efisien, sekaligus memastikan setiap komuniti di Petaling Jaya menerima perhatian sewajarnya dan menikmati perkhidmatan MBPJ yang lebih responsif dan menyeluruh," katanya.