MPAJ rangka garis panduan kawal aktiviti tepi sungai dalam Geopark Gombak-Hulu Langat

3 Dis 2025, 3:44 AM
MPAJ rangka garis panduan kawal aktiviti tepi sungai dalam Geopark Gombak-Hulu Langat

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang menyediakan draf garis panduan bagi mengawal selia aktiviti rekreasi dan komersial di kawasan tepi sungai dalam Geopark Gombak–Hulu Langat (GHLGp) yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Garis panduan itu bertujuan mewujudkan peraturan jelas serta pengurusan lebih teratur di kawasan seperti Kampung Kemensah, Taman Melawati dan Klang Gates yang kini menempatkan pelbagai aktiviti dalam zon geopark.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari berkata draf tersebut dirangka bersama beberapa agensi negeri dengan memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar, keselamatan pengunjung dan kelulusan operasi perniagaan.

“Matlamat kami adalah menyelaraskan aktiviti manusia dengan konsep geopark, khususnya aktiviti berhampiran sungai,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan draf garis panduan itu disiapkan pada pertengahan 2026 sebelum pelaksanaannya dimulakan pada tahun sama.

Menurutnya, pelbagai aktiviti termasuk kafe, perkhidmatan pelancongan dan tunggangan ATV, menjadikan inventori lengkap operasi sedia ada penting bagi mewujudkan sistem kawal selia yang konsisten.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts Hasrolnizam Shaari dalam mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu di Menara MPAJ pada 20 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

MPAJ sebelum ini mendapati 70 premis di Kampung Kemensah beroperasi tanpa lesen susulan kekangan status tanah dan zon guna tanah yang ditetapkan bagi tujuan pertanian dan kediaman.

Situasi sama turut berlaku di kawasan tepi sungai sekitar Taman Melawati dan Klang Gates yang menyaksikan pertumbuhan aktiviti komersial tanpa permit sah.

“Kami sedang mendokumentasikan semua aktiviti di kawasan terbabit bagi memastikan garis panduan dapat menentukan kegiatan yang dibenarkan serta kaedah operasi yang selaras dengan objektif geopark,” jelasnya.

Hasrolnizam berkata, MPAJ terus menjalankan pemantauan ketat bagi mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan pengunjung.

“Buat masa ini, tumpuan kami adalah memastikan aktiviti tidak mencemarkan sungai dan tidak menimbulkan risiko kepada pengunjung,” katanya.

Menurut beliau, keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat rehat masih dibenarkan, namun aktiviti berskala besar yang menarik kehadiran ramai tidak dibenarkan.

“Kami tidak membenarkan persembahan, festival atau aktiviti yang mencetuskan tarikan luar biasa,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa operasi tanpa lesen masih dibenarkan beroperasi secara sementara sebagai langkah peralihan sebelum garis panduan baharu dikuatkuasakan.

“Ini bagi memastikan aktiviti tersebut dapat berfungsi secara harmoni dengan alam dan komuniti setempat,” katanya.

Jun lalu, MPAJ membentangkan cadangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk melaksanakan lesen sementara bersyarat dan memperkenalkan garis panduan pengesahan aktiviti tepi sungai.

Kerajaan Negeri kemudian bersetuju secara prinsip dan MPAJ mula merangka kerangka operasi bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Perhutanan, pihak berkuasa perancang negeri, JPS, LUAS dan Pejabat Tanah Gombak.

GHLGp diisytiharkan sebagai geopark kebangsaan pertama Selangor pada 16 November tahun lalu dan negeri kini berhasrat memohon pengiktirafan UNESCO Global Geopark bagi mengangkat warisan geologi serta memperkasa pembangunan ekopelancongan.