SHAH ALAM, 14 JUN: Kondominium Highland Towers di Hulu Klang yang terbiar sejak lebih tiga dekad lalu dijangka dirobohkan sebelum penghujung tahun ini susulan keputusan mahkamah yang membenarkan tindakan berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata Mahkamah Majistret minggu lalu meluluskan permohonan pihak berkuasa tempatan itu untuk merobohkan struktur bangunan berkenaan.
Menurutnya, MPAJ kini sedang menyelaras tindakan lanjut termasuk mengenal pasti pihak yang akan menguruskan kerja-kerja perobohan.
"Kita akan anjurkan satu mesyuarat pelarasan membabitkan pihak pemilik unit yang diwakili oleh pihak pemaju dan insolvensi.
"Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan… Kita dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Tanpa Kenderaan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat MPAJ 2026 di Ampang, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hasrolnizam berkata MPAJ komited melaksanakan pelbagai program dan inisiatif hijau bagi menyokong agenda pembangunan mampan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk program kitar semula, kempen kebersihan, aktiviti penanaman pokok dan pendidikan alam sekitar di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
"Program Hari Tanpa Kenderaan yang dianjurkan pada hari ini bukan sekadar satu aktiviti rekreasi atau riadah hujung minggu.
"Sebaliknya, program ini adalah manifestasi komitmen MPAJ dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan bermotor serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia turut menjadi platform untuk mengingatkan masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar.
"Kelestarian alam bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, tetapi adalah tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
"Setiap tindakan kecil yang dilakukan seperti mengamalkan kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik, menjaga kebersihan kawasan sekitar dan menanam pokok mampu memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan alam sekitar," katanya.







