I-Seed: 200 usahawan kecil disasar terima manfaat tahun depan

2 Dis 2025, 10:48 AM
I-Seed: 200 usahawan kecil disasar terima manfaat tahun depan
I-Seed: 200 usahawan kecil disasar terima manfaat tahun depan
I-Seed: 200 usahawan kecil disasar terima manfaat tahun depan

SHAH ALAM, 2 NOV: Seramai 200 usahawan kecil disasarkan menerima manfaat daripada program I-Seed sepanjang 2026, sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong komuniti India di Selangor.

Koordinator I-Seed Mathavan Muniyandi berkata program itu akan lebih proaktif tahun depan dalam mengenal pasti usahawan berpendapatan rendah bagi memastikan mereka menerima peralatan perniagaan yang diperlukan.

“Pada tahun ini, seramai 164 penerima telah menikmati manfaat program. Tahun depan, sasaran meningkat kepada 200 penerima, khususnya usahawan kecil dalam bidang menjahit, makanan, snek, dan bengkel kenderaan.

“Matlamatnya adalah memberikan sokongan supaya mereka dapat berkembang dan berjaya,” katanya kepada Media Selangor

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 memaklumkan bahawa pentadbirannya memperuntuk RM1 juta bagi meneruskan kesinambungan program I-Seed pada tahun depan.

Dilancar pada 7 April 2021, I-Seed bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti India melalui pemberian bantuan peralatan perniagaan mengikut jenis usaha yang dijalankan.

Syarat kelayakan program I-Seed:

  • rakyat Selangor atau bermastautin di negeri ini lebih 10 tahun

  • pendapatan individu atau isi rumah di bawah RM3,000 sebulan

  • perniagaan mesti beroperasi di Selangor