Ibu bapa serbu SIBF 2025 cari buku pendidikan untuk anak

1 Dis 2025, 2:01 PM
Ibu bapa serbu SIBF 2025 cari buku pendidikan untuk anak

SHAH ALAM, 1 DIS: Keterujaan menyediakan bahan bacaan terbaik untuk anak-anak mendorong ramai ibu bapa menyerbu Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Nurul Amira Natasha Muhammad Khair, 33, berkata SIBF menjadi lokasi pilihan kerana menawarkan pelbagai buku kanak-kanak pada harga berpatutan.

Beliau yang hadir bersama empat orang anaknya berkata tujuan utama datang adalah untuk mencari buku pendidikan dan buku bertema dinosaur yang digemari anak-anaknya.

“Saya datang khusus untuk cari buku anak-anak, terutama tentang haiwan dan dinosaur. Harga di sini lebih murah dengan banyak diskaun.

Peniaga, Nurul Amira Natasha Muhammad Khir, 33. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Program ini sesuai dianjurkan hujung tahun kerana tidak ganggu sesi sekolah. Peperiksaan pun sudah selesai, jadi saya ambil peluang bawa anak-anak,” katanya kepada Media Selangor.

Manakala, bagi pasangan suami isteri V Sharanya dan V Jonathan pula tertarik dengan kepelbagaian jenis buku di SIBF terutama untuk kanak-kanak.

“SIBF bagus sebab dapat tengok macam-macam jenis buku. Ada bahan bacaan yang sentuh sahaja ada bunyi, bagi saya memang menariklah kanak-kanak mesti suka.

“Walaupun banyak bahan bacaan boleh diakses secara dalam talian, saya tetap lebih suka buku fizikal kerana lebih puas,” kata ibu bapa berusia 34 tahun itu.

Selain itu, seorang guru, Ahmad Firdaus Isa, 39, turut memanfaatkan festival berkenaan untuk mencari bahan bacaan berkaitan sirah Rasulullah.

Guru, Ahmad Firdaus Isa, 39. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Senang cari buku di sini sebab semuanya setempat. Sebagai guru, saya nampak pesta buku macam ini sangat bermanfaat dan patut dianjurkan lebih kerap, murah pun murah,” katanya.

Pesta buku tahunan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.

Para pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah harian bernilai RM500, dengan 10 pemenang dipilih setiap hari.

Setiap pembelian bernilai RM30 melayakkan satu penyertaan, manakala pengumuman pemenang dibuat pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam.

Pesta buku tahunan anjuran PPAS itu bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.