SHAH ALAM, 5 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) kini berada dalam kalender pesta buku besar dan berpengaruh dengan penglibatan ramai penerbit luar negara.
Dato' Menteri Besar berkata SIBF turut menerima lebih 200,000 pengunjung setakat ini, dengan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari penutup esok.
Jelas Dato' Seri Amirudin Shari, kehadiran luar biasa tahun ini didorong pelbagai pembaharuan termasuk tempoh penganjuran lebih panjang serta penyertaan luas penerbit luar negara.
“SIBF kini berada pada tahap yang semakin tinggi dengan penglibatan penerbit dan pemamer dari India, China, Ghana, Turkiye dan Azerbaijan, hasil hubungan yang dibina melalui beberapa lawatan kerja sebelum ini.
“Kebanyakan pemamer sangat berpuas hati. Kehadiran pemain industri dari luar negara menunjukkan pesta buku ini terus berkembang dan semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Media Selangor pada lawatan ke SIBF, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, kerjasama jangka panjang antara Kerajaan Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) serta rakan antarabangsa membuka peluang penganjuran lebih besar dan berimpak.
“Penganjuran tahun ini lebih baik berbanding sebelumnya kerana berlangsung selama dua minggu, memberi ruang kepada pengunjung dari pelbagai peringkat usia mengikuti aktiviti dan mendapatkan pelbagai bahan bacaan.
“Variasi bahan bacaan juga sangat luas merangkumi buku kanak-kanak, rujukan, sekolah, sejarah, kepimpinan, politik dan geopolitik, termasuk terbitan dalam dan luar negara,” katanya.
Mengulas kemungkinan penganjuran lebih besar pada tahun hadapan, Amirudin optimis SIBF akan terus diperkasa dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah, kita akan terus perbaiki penganjuran ini. SIBF kekal menjadi antara acara utama dalam kalender pesta buku negara dan pastinya mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.
SIBF 2025 berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dari 28 November hingga 7 Disember dan dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Anjuran PPAS, acara berkenaan menyediakan 400 reruai melibatkan 200 peserta pameran tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, India, Turkiye, Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jemputan khas edisi tahun ini ialah Guangdong, China dan Tamil Nadu, India.





