SHAH ALAM, 28 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (DYMM) berkenan merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 yang bermula hari ini hingga 7 Disember.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, ketibaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke SIBF diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Menyambut ketibaan baginda berdua ialah EXCO Keusahawanan Mohamad Najwan Halimi dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.
Pada perasmian berkenaan, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan plak penghargaan Selangor International Fellowship Programme kepada wakil 11 negara iaitu Kazakhstan, Uzbekistan, Azerbaijan, Kyrgyzstan, Luxembourg, Ghana, Mongolia, Thailand, China, Korea Selatan dan Iran.
Sultan Sharafuddin juga melancarkan buku The Mysterious & Magical World Of Fireflies, Kampung Kuantan, Kuala Selangor dengan menandatangani karya Embon Abdullah tersebut sebagai simbolik perasmian.
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri kemudian melawat reruai pempamer yang menyertai pesta buku terbabit.
Dianjurkan PPAS, acara menyediakan 400 reruai untuk 200 peserta pameran tempatan dan antarabangsa seperti China, India, Turkiye, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu (UAE). Jemputan khas negeri tahun ini adalah Guangdong, China dan Tamil Nadu, India.
Para pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah harian bernilai RM500, dengan 10 pemenang dipilih setiap hari.
Setiap pembelian bernilai RM30 melayakkan satu penyertaan, manakala pengumuman pemenang dibuat pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam.
Pesta buku tahunan anjuran PPAS itu bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.
Terdahulu, Mastura dalam sembah ucapan berkata PPAS julung kali menganjurkan bengkel sempena SIBF 2025 membabitkan duta dari negara benua Asia, Afrika, Eropah dan China di Perpustakaan Raja Uda, Seksyen 13, semalam.
“Para peserta bengkel terdiri daripada penerbit, penulis, ilustrator dan penterjemah menjalin jaringan serta berkongsi idea serta pengetahuan masing-masing,” katanya.







