SHAH ALAM, 7 DIS: Industri penghasilan dan penerbitan buku di Selangor menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan kemunculan penulis serta penerbit muda yang terus memperkasa agenda ilmu melalui karya baharu.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan penerbit yang meneroka pelbagai genre membuktikan Selangor berpotensi melahirkan lebih ramai pengkarya berkualiti setanding negara luar.
“Penghasilan dan penerbitan buku-buku menjadi satu petunjuk yang baik apabila banyak penerbit muda tampil menerbitkan karya terjemahan dan karya-karya langka.
“Penghasilan karya termasuk catatan, penulisan fiksyen atau novel sentiasa berterusan walaupun berdepan cabaran teknologi maklumat yang berleluasa,” katanya ketika berucap pada program Malam Baca Puisi Pena: Serumpun Sebudaya bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di sini, malam tadi.
Beliau turut mengingatkan industri penerbitan berdepan cabaran baharu, terutama isu ketulenan susulan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam proses penciptaan karya.
Dalam majlis sama, Amirudin melancarkan buku terbaharu Tokoh Puisi Kebangsaan Marzuki Ali berjudul Kereta Senja Dari Bandoeng ke Kota Parahyangan, selain menyampaikan puisi Simpang Siur karya Datuk Ts Dr Ramzah Dambul.
Acara turut diserikan dengan persembahan puisi oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari, manakala kumpulan Adiwangsa Sukma mempersembahkan lagu Senandung Anak Desa dan Perjalanan, menambahkan lagi keindahan malam sastera tersebut.






