SHAH ALAM, 1 DIS: Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memuji usaha Casa Kids Book, sebuah penerbitan di bawah Big M Resources yang berjaya menghasilkan 21 buku bergambar kanak-kanak dalam tempoh hanya enam bulan.
Datin Seri Masdiana Muhamad berkata kejayaan menerbitkan siri buku bertemakan kelestarian alam dan kesedaran sosial itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai penulis.
“Ini bukan usaha kecil, sebaliknya sebuah pencapaian besar yang wajar dibanggakan Saya dimaklumkan juga bahawa projek ini berjaya menarik penyertaan 300 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kurang upaya (OKU).
“Kita maklum bahawa menghasilkan buku bergambar kanak-kanak bukan tugas mudah. Selain kemahiran menulis, penulis perlu memiliki kreativiti dalam ilustrasi dan kemampuan menyampaikan mesej melalui visual.
“Sebab itu saya amat kagum dengan dedikasi, komitmen dan ketekunan semua yang terlibat, terutamanya pengarah projek (Mimi Salleh) yang mengemudi projek ini dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Buku Bergambar Kanak-kanak Casa Kids Book di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.
Masdiana turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Bursa Malaysia atas penajaan projek berkenaan dan menyifatkan sokongan itu sebagai elemen penting dalam memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan, khususnya bahan bacaan kanak-kanak.
“Yang lebih menyentuh hati ialah tujuan murni di sebalik projek ini menerusi inisiatif sosial yang akan dijalankan sepanjang 2026, termasuk pembelian alat bantu dengar.
“Inisiatif sebegini bukan sahaja memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, malah memberi impak sosial yang amat besar kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pelbagai pengisian menarik di SIBF 2025 yang diadakan sehingga 7 Disember ini antaranya pengunjung boleh mendapat tawaran potongan harga sehingga 25 peratus di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Eksekutif Jualan Korporatnya Muhammad Nazmi Tusimun berkata pihaknya komited sasaran nilai jualan RM50,000 mampu dicapai apabila tiga hari pesta kini sudah berjaya meraih RM25,000.
“Kita mengalu-alukan kehadiran semua pencinta buku untuk singgah ke reruai IBDE dan dapatkan potongan harga sehingga 25 peratus selain jangan lupa dapatkan lapan naskhah baharu.
“Pengunjung juga digalak untuk sertai ahli buku IBDE dan kumpul mata tanpa ada tamat tempoh serta berpeluang dapatkan buku pada harga berpatutan,” katanya.
Pesta buku tahunan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.





