Pemenang Wanita Ikon Selangor ikuti kelas khas sebagai persediaan ke pentas kebangsaan

14 Jul 2026, 2:38 PM
Pemenang Wanita Ikon Selangor ikuti kelas khas sebagai persediaan ke pentas kebangsaan
Pemenang Wanita Ikon Selangor ikuti kelas khas sebagai persediaan ke pentas kebangsaan
Pemenang Wanita Ikon Selangor ikuti kelas khas sebagai persediaan ke pentas kebangsaan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pemenang Anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/27 akan dipersiapkan dalam pelbagai aspek sebelum mewakili negeri itu ke Anugerah Wanita Ikon Malaysia pada September depan.

Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Cawangan Selangor Norzawani Mohamed Zakaria berkata, persediaan itu termasuk kelas personaliti dan pengucapan awam bagi memastikan wakil Selangor benar-benar bersedia bersaing di peringkat kebangsaan.

"Untuk Kelab Wanita Ikon Selangor, kita dah sediakan kelas personaliti, pengucapan awam dengan pakar di Selangor untuk kita pastikan ikon betul-betul bersedia untuk jadi pemenang di peringkat nasional nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Pengumuman dan Apresiasi Wanita Ikon Selangor 2026/27 di sini, hari ini.

Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) Cawangan Selangor, Norzawani Mohamed Zakaria berucap pada Majlis Hi-Tea Pengumuman dan Apresiasi Anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/27 di Lado by The Lake, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR.

Menurut Norzawani, lebih 100 pencalonan diterima bagi anugerah itu sebelum melalui beberapa peringkat saringan sehingga 20 finalis dipilih.

Katanya, anugerah itu bukan hanya memberi pengiktirafan kepada usahawan, sebaliknya menghargai wanita yang memainkan peranan memperkasa golongan tersebut dalam pelbagai bidang.

"Kita mahu seorang wanita yang betul-betul memperkasakan wanita dari segala aspek termasuk keusahawanan, ekonomi, kesihatan dan keselamatan.

"Itu sebenarnya antara teras Kelab Wanita Ikon. Kita tidak pandang satu arah saja. Itulah keunikan Anugerah Wanita Ikon terutama di Selangor," jelasnya.

Sementara itu, Presiden KWIM Dato' Normaziah Sheikh Mohamed berkata, semua pemenang peringkat negeri akan bersaing di pentas kebangsaan.

Menurutnya, setiap pemenang turut diwajibkan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi sebelum hari anugerah.

Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dinobatkan sebagai Wanita Ikon Selangor 2026/27 pada majlis Anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/27 di Lado by The Lake, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

"Selepas ini, Wanita Ikon yang dinobatkan tak boleh duduk diam. Mereka akan diikat kontrak selama dua tahun dengan kelab kami dan perlu membuat sekurang-kurangkan tiga CSR berimpak tinggi.

"Yang istimewa tentang anugerah ini adalah ia disahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Normaziah berkata, pemenang juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri masing-masing bagi membantu menangani isu berkaitan wanita mengikut keperluan setempat.

"Setiap negeri ada masalah-masalah wanita contohnya masalah penagihan, penceraian atau remaja rosak.

"Jadi, tugas Wanita Ikon ini (adalah) mereka (kembali) ke negeri masing-masing untuk fokus kepada masalah utama itu bersama-sama dengan Kerajaan Negeri membendung isu tersebut. Wanita perkasa, perkasalah keluarga," ujarnya.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad ditemui media pada Majlis Hi-Tea Pengumuman dan Apresiasi Anugerah Wanita Ikon Selangor 2026/27 di Lado by The Lake, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berharap pemenang yang dipilih dapat mengharumkan nama Selangor di pentas kebangsaan serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita.

"Saya harap wanita yang diangkat ini dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri termasuk Exco Wanita dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita.

"Kita tahu ramai wanita yang berpotensi dan ingin berjaya di luar sana. Jika kita letak ikon itu, mereka akan jadi lebih bersemangat dan ada tempat untuk sesi perkongsian dan dapatkan sumber motivasi untuk berjaya," katanya.

Dalam majlis itu, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dinobatkan sebagai Wanita Ikon Selangor 2026/27, manakala Nur Hazreen Mohd Ramzi memenangi Anugerah Wanita Ikon Muda Selangor.

Sementara itu, Dr Reynu Rajan diumum sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Waja Selangor, kategori yang diperkenalkan khusus bagi mengiktiraf penyertaan wanita kaum India.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.