Suspek didakwa bunuh isteri sempat ambil anak di sekolah sebelum serah diri

1 Dis 2025, 10:23 AM
Suspek didakwa bunuh isteri sempat ambil anak di sekolah sebelum serah diri

TANAH MERAH, 1 DIS: Lelaki yang dipercayai menetak isterinya hingga maut di Kampung Paku, Gual Ipoh, pagi tadi dikatakan sempat mengambil anak bongsunya di sekolah sebelum menyerah diri di balai polis berhampiran.

Suspek berusia 63 tahun itu didakwa menetak isterinya berusia 40 tahun kira-kira jam 10 pagi di rumah mereka sebelum mengambil anak lelaki berusia 10 tahun di sekolah sekitar jam 12 tengah hari.

Adik mangsa berkata kejadian tidak disedari ahli keluarga kerana tiada sebarang pertengkaran atau bunyi mencurigakan sebelum insiden diketahui selepas polis tiba di rumah.

Menurutnya, kejadian lebih memilukan apabila anak bongsu mangsa yang baru pulang dari sekolah melihat ibunya dalam keadaan tidak bernyawa di bahagian dapur.

“Sebelum kejadian, adik bongsu menjemput arwah kakak di stesen minyak Machang sekitar jam 9 pagi. Mereka tiba di rumah jam 10 pagi. Arwah pulang ke kampung dengan menumpang lori sepupu.

“Tidak lama selepas itu, ibu hubungi saya memaklumkan kakak sudah tiada. Apabila saya tiba, polis sudah berada di lokasi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tanah Merah, lapor Berita Harian.

Jelasnya, kakaknya bekerja sebagai tukang masak di Selangor sejak setahun lalu dan pulang ke kampung dua atau tiga minggu sekali.

“Tidak sangka kepulangan kakak hari ini berakhir tragedi. Dipercayai terdapat banyak kesan tikaman di bahagian depan dan belakang, namun jenis senjata belum diketahui,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas selesai proses bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya di Gual Ipoh dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.