Kristoff juara Meowdel Si Comel, kostum buatan tangan curi perhatian

1 Dis 2025, 1:00 AM
Kristoff juara Meowdel Si Comel, kostum buatan tangan curi perhatian
Kristoff juara Meowdel Si Comel, kostum buatan tangan curi perhatian

SHAH ALAM, 1 DIS: Dengan kostum klasik buatan tangan yang dihias penuh teliti, kucing bernama Kristoff mencuri tumpuan di Selangor HalalVibe Fest 2025 apabila dinobatkan juara pertandingan Meowdel Si Comel.

Pemiliknya, Nur Mayani Asmunir, 29, tidak menyangka usaha sederhana yang dilakukannya bersama kasih sayang terhadap haiwan peliharaan itu membuahkan hasil.

“Kita memang dah biasa sertai pertandingan ini. Selalu bawa ibu bapa Kristoff sekali tetapi hari ini bawa Kristoff sahaja dan Alhamdulillah, syukur tak sangka menang.

“Modal keluar pun tidak banyak sebab semuanya saya buat sendiri, daripada baju dan aksesori Kristoff,” katanya kepada Media Selangor.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Meowdel Si Comel dalam Selangor Halalvibe Fest di Dataran Karnival Shah Alam pada 30 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Tempat kedua pula menjadi milik Princess Lusy, kucing kesayangan Anis Wahidah Che Aziz, 31, yang tampil dengan kostum kreatif bertemakan Puteri Songket On Wheels.

“Saya suka sertai pertandingan kucing. Tak harap menang pun sebab niat masuk nak beri kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan manfaat menyayangi serta membela haiwan ini.

“Kostum yang digunakan hari ini (semalam)memang saya buat sendiri… persiapannya mengambil masa sekitar seminggu sahaja,” katanya.

Pemenang tempat kedua pertandingan Meowdel Si Comel, Anis Wahidah Che Aziz bersama kucing, Princess Lusy dalam Selangor Halalvibe Fest di Dataran Karnival Shah Alam pada 30 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

Pertandingan bertemakan Pesona Klasik Si Manja itu menawarkan hadiah wang tunai RM500 kepada juara, RM300 bagi naib juara dan RM200 untuk tempat ketiga.

Acara menjadi lebih bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang, menceriakan lagi suasana di Dataran Karnival.

Selangor HalalVibe Fest 2025 menyasarkan nilai transaksi jualan RM3 juta dan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran sejak Khamis lalu.

Sebanyak 300 reruai dibuka, menampilkan pelbagai produk halal, makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian serta fesyen.

Festival itu turut memuatkan pengisian bermanfaat seperti Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal serta sesi pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Agrobank bagi membuka peluang jaringan serta permodalan kepada usahawan.

Selain pameran dan program ilmiah, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air termasuk Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan.