Tengku Permaisuri berkenan cemar duli ke Selangor HalalVibe Fest 2025

30 Nov 2025, 8:01 AM
Tengku Permaisuri berkenan cemar duli ke Selangor HalalVibe Fest 2025
Tengku Permaisuri berkenan cemar duli ke Selangor HalalVibe Fest 2025

SHAH ALAM, 30 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Selangor HalalVibe Fest 2025 di Dataran Karnival di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhammad dan isteri EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Azrina Subkey.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’, Saipolyazan M Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS), Muhammad Khushairi Mat Lasar.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga berkenan mencemar duli melawat ke khemah acara Meowdel Si Comel selain turut bergambar bersama kucing.

Baginda juga menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang kucing comel dengan berpakaian tema klasik sebelum bersantap sambil dihiburkan dengan persembahan angklung.

Kemudian, Baginda turut meluangkan masa kira-kira hampir sejam mengunjungi reruai serta bermesra dengan peniaga dan pengunjung dengan menaiki buggy.

Selangor HalalVibe Fest 2025 menyasarkan nilai transaksi jualan sebanyak RM3 juta dan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran sejak Khamis lalu sehingga hari ini.

Sebanyak 300 reruai dibuka melibatkan pelbagai produk dan pameran antaranya produk halal, makanan dan minuman, perkhidmatan serta pertanian dan fesyen.

Turut menawarkan pelbagai pengisian termasuk Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal serta aktiviti pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor dan Agrobank bagi membuka peluang jaringan dan permodalan kepada usahawan.

Menariknya, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis terkemuka tanah air antaranya seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan pada malam ini.