ad

HalalVibe Fest 2025 sasar jualan RM3 juta, tarik 30,000 pengunjung

27 Nov 2025, 10:01 AM
HalalVibe Fest 2025 sasar jualan RM3 juta, tarik 30,000 pengunjung
HalalVibe Fest 2025 sasar jualan RM3 juta, tarik 30,000 pengunjung

SHAH ALAM, 27 NOV: Selangor HalalVibe Fest 2025 menyasarkan nilai transaksi jualan sebanyak RM3 juta dan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran bermula hari ini hingga 30 November.

Berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, program dilaksanakan oleh Halal International Selangor (HIS) itu menampilkan 300 reruai melibatkan pengusaha produk halal makanan dan minuman, penyedia perkhidmatan, pertanian serta fesyen.

EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata penganjuran berskala besar itu menjadi platform komprehensif untuk memperkukuh agenda halal di Selangor.

“Program konsep baharu dan julung kali diadakan dengan HIS selaku agensi pelaksana ini untuk memperkenalkan produk halal dan bersijil halal di Selangor yang telah dan sedang melalui proses pensijilan halal.

“Program ini akan berlangsung selama empat hari dan Ahad nanti Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dijangka berkenan berangkat untuk sertai beberapa acara di sini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Selangor HalalVibe Fest 2025 di sini, hari ini.

Beliau turut mengajak orang ramai memeriahkan festival yang dibuka kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 11 malam itu.

Pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara HIS dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), Universiti Selangor (Unisel) serta Vital Life Solutions Sdn Bhd.

MoU antara HIS dan Yayasan Hijrah Selangor melibatkan pelaksanaan Pakej Pembiayaan Pensijilan Halal kepada usahawan.

Kerjasama dengan Unisel pula memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan halal melalui latihan bersama, penyelidikan serta penempatan latihan industri pelajar.

Sementara itu, MoU dengan Vital Life Solutions Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengeluaran produk sertu berasaskan teknologi Clay Water Enzyme (CWE) melantik HIS sebagai rakan strategik eksklusif antarabangsa bagi memasarkan produk tersebut.

Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan produk, pematuhan kualiti, fasilitasi pensijilan halal, sokongan logistik rantaian bekalan serta penyertaan dalam program perdagangan, sekali gus memperkukuh daya saing industri halal di peringkat global.