Dari kosmetik hingga produk kucing halal, HalalVibe Fest jadi tumpuan pengunjung

28 Nov 2025, 2:00 AM
Dari kosmetik hingga produk kucing halal, HalalVibe Fest jadi tumpuan pengunjung
Dari kosmetik hingga produk kucing halal, HalalVibe Fest jadi tumpuan pengunjung

SHAH ALAM, 28 NOV: Penganjuran Selangor HalalVibe Fest 2025 mendapat sambutan positif daripada pengunjung yang hadir untuk mendapatkan pendedahan lebih meluas mengenai ekosistem halal.

Seorang pengunjung, Camelia Natasya, 24, berkata festival itu membuka persepsi baharu bahawa halal bukan hanya tertumpu kepada makanan dan minuman.

“Ramai fikir halal hanya pada makanan dan minuman, tetapi sebenarnya ia sangat meluas. Tadi saya nampak ada kosmetik, ekspo kucing dan produk penjagaan kucing halal.

"Memang penting ada pensijilan halal supaya orang lebih percaya dengan produk kita pada masa sama membantu menaikkan produk tempatan. Saya harap festival seumpama ini dianjurkan setiap tahun,” katanya kepada Media Selangor.

Camelia Natasya, 24. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi Muhamad Nor Arif Hamidin, 36, dia hadir untuk membina jaringan perniagaan, sekali gus meneroka peluang untuk membantu perusahaan kecil memasarkan produk secara lebih sistematik.

“Saya datang untuk mencari networking (bina jaringan) perniagaan. Kami ada aplikasi yang boleh mendigitalkan industri halal dan bantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan atau mendokumentasikan produk secara digital,” katanya.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Natasha Roslan, 35, pula berkata festival ini bukan sekadar medan membeli makanan tetapi turut menyediakan maklumat baharu yang bermanfaat.

“Saya memang rancang nak datang hari ini sebab fikir mungkin tak terlalu ramai tetapi boleh tahan ramai juga walaupun hari bekerja dan cuaca hujan.

"Bagi saya program sebegini menarik bukan setakat festival makan minum tetapi ada banyak perkara baharu kita dapat tahu seperti takaful Islamik, penanaman pokok dan produk halal. Harap program seperti ini dianjurkan setiap bulan,” katanya.

Pelajar Universiti Selangor (Unisel), Shaiful Adam Shaiful Rizza. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pelajar Universiti Selangor (Unisel), Shaiful Adam Shaiful Rizza, 19, turut berpendapat festival ini membantu generasi muda memahami industri halal secara lebih menyeluruh.

“Saya datang sebab nak tahu lebih banyak mengenai industri halal. Program ini memang menarik dan sangat penting untuk komuniti terutama Islam,” katanya.

Selangor HalalVibe Fest 2025 yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini menawarkan pelbagai pengisian, termasuk Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal dan aktiviti pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) serta Agrobank untuk membuka peluang jaringan serta akses permodalan kepada usahawan.

Festival itu turut dimeriahkan dengan konsert oleh artis terkenal seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan.

Selain itu, lebih 300 reruai dibuka melibatkan pempamer produk halal makanan dan minuman, penyedia perkhidmatan, pertanian dan fesyen.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, cabutan bertuah, pertandingan kucing comel serta pameran produk penjagaan kucing halal.