Selangor HalalVibe Fest 2025: Jais tekankan kepentingan pengusaha fahami proses pensijilan halal

28 Nov 2025, 8:27 AM
Selangor HalalVibe Fest 2025: Jais tekankan kepentingan pengusaha fahami proses pensijilan halal
Selangor HalalVibe Fest 2025: Jais tekankan kepentingan pengusaha fahami proses pensijilan halal
Selangor HalalVibe Fest 2025: Jais tekankan kepentingan pengusaha fahami proses pensijilan halal

SHAH ALAM, 28 NOV: Pensijilan halal bukan sahaja merangkumi pemilihan bahan mentah yang suci tetapi juga membabitkan keseluruhan proses penyediaan termasuk pemilihan pekerja.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Norakmal Mohamad berkata ketika ini stigma sukar memperoleh sijil halal masih ada dan ia perlu ditangani secara berhemah.

“Stigma itu masih wujud sebab itu kami bersama semua agensi bersama untuk kita memberi kesedaran tentang (memperoleh sijil) halal ini sebenarnya tidak sukar kalau kita bermula dengan langkah yang tepat,” katanya kepada Media Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Norakmal Mohamad.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Pocket Talk Pensijilan Halal Cottage pada hari kedua penganjuran Selangor Halalvibe Fest 2025 di Dataran Karnival, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lambakan restoran dengan label 'muslim friendly', Norakmal berkata umat Islam tidak digalakkan menikmati makanan di premis terbabit berikutan terkait dengan unsur syubhah.

“Kita pernah adakan tindakan penguatkuasaan dimana kita pergi ke premis sedemikian rupa. Walaupun betul tiada babi yang digunakan tetapi ayam di situ datang dari sumber yang tidak jelas,” katanya.

Pelajar, Zikri Hafiz

Sementara itu, pelajar, Zikri Hafiz, 22, berkata pengisian yang disampaikan dalam Pocket Talk Pensijilan Halal Cottage amat bermanfaat dan membantu dirinya mengingat kembali ilmu yang telah dipelajari sebelum ini.

“Bagi saya slot tersebut sangat bermanfaat dan pengisian tadi banyak menyentuh secara keseluruhan terutamanya dalam skop makanan dan minuman, syarikat logistik dan sebagainya.

“Kami juga dapat memahami ketidakaturan yang menyebabkan sijil halal boleh ditarik. Saya belajar banyak perkara baharu, umpama saya mengulangkaji pelajaran,” katanya pelajar diploma pengurusan industri halal di Kolej Professional MAIWP ini.

Pensyarah, Nur Saliha Buang.

Pensyarah, Nur Saliha Buang, 36, berkata beliau mengambil kesempatan membawa pelajar kelasnya untuk mengenali semua perkara berkaitan produk halal, sekali gus memberi pendedahan baharu mengenai industri berkenaan.

“Saya bawa pelajar untuk mendedahkan pelajar dengan pameran halal. Saya pilih hari ini kerana ada Pocket Talk. Kalau mahu bawa ke Jais, kita pun tida@ tahu bila. Jadi kita bawa ke sini dan lebih mudah,” katanya.

Selangor HalalVibe Fest 2025 yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini menawarkan pelbagai pengisian, termasuk Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal dan aktiviti pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) serta Agrobank untuk membuka peluang jaringan serta akses permodalan kepada usahawan.

Festival itu turut dimeriahkan dengan konsert oleh artis terkenal seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan.

Selain itu, lebih 300 reruai dibuka melibatkan pempamer produk halal makanan dan minuman, penyedia perkhidmatan, pertanian dan fesyen.