Jumlah mangsa terjejas banjir di Selangor meningkat 3,657 pagi ini

30 Nov 2025, 1:09 AM
Jumlah mangsa terjejas banjir di Selangor meningkat 3,657 pagi ini

SHAH ALAM, 30 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat setakat jam 8 pagi ini apabila 3,657 mangsa daripada 1,046 keluarga direkodkan berada di 35 pusat pemindahan sementara (PPS), berdasarkan kemas kini Info Bencana JKM.

Angka itu menunjukkan pertambahan berbanding malam tadi yang merekodkan 3,503 mangsa daripada 1,012 keluarga di 33 PPS.

Sementara itu, beberapa sungai di Selangor juga dilaporkan melepasi paras amaran, waspada dan bahaya menurut data Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 8 pagi.

Di Kuala Selangor, Rantau Panjang mencatat 6.25 meter (paras amaran), Kampung Asahan 3.64 meter (paras bahaya), Parit Mahang 3.9 meter (paras amaran) dan Pintu Air Ijok 4.01 meter (paras bahaya).

Di Sabak Bernam, Rimba KDR direkodkan pada 1.84 meter (paras amaran).

Di Kuala Langat, Bukit Changgang berada pada 4.18 meter (paras waspada).

Manakala di Hulu Selangor, Jambatan S.K.C mencatat 18.42 meter (paras amaran).

Daripada keseluruhan mangsa pagi ini, 1,163 merupakan lelaki dewasa, 1,155 perempuan dewasa, 641 kanak-kanak lelaki, 582 kanak-kanak perempuan, 70 bayi lelaki dan 47 bayi perempuan.

Kuala Selangor terus merekodkan jumlah pemindahan tertinggi dengan 2,474 mangsa di 15 PPS, diikuti Sepang (841 mangsa, 9 PPS), Sabak Bernam (174 mangsa, 3 PPS), Kuala Langat (162 mangsa, 7 PPS) dan Klang (6 mangsa, 1 PPS).