SABAK BERNAM, 29 NOV: Bantuan kewangan dan makanan disalurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar kepada mangsa bah di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) daerah ini.
Wakil rakyatnya Datuk Rizam Ismail berkata bantuan awal disalurkan sebaik sahaja PPS di Dewan Seri Sekinchan, Dewan Seri Bernam dan Dewan Seri Nahkoda dibuka berikutan cuaca buruk yang melanda.
Ditemui selepas merasmikan Dewan Serbaguna Tengku Zafrul Aziz di sini, jelasnya, Dewan Seri Nahkoda menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 143 orang daripada 48 keluarga setakat ini.

“Mereka perlu melaporkan kepada balai polis berhampiran atau kaunter aduan di PPS bagi memudahkan penyelarasan bantuan pejabat daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor," katanya.
Rizam yang juga EXCO kemajuan desa turut mengingatkan penduduk supaya berwaspada terhadap amaran cuaca susulan ribut tropika serta mengelakkan aktiviti di kawasan banjir demi keselamatan.
“Saya minta pejabat daerah dengan kerjasama semua agensi negeri khususnya ketua kampung peka sekiranya berlaku bencana dengan menyalurkan bantuan segera,” jelasnya.
Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 4,366 orang daripada 1,208 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 4,149 orang daripada 1,137 keluarga, jam 8 pagi tadi.
Menurut portal Infobencana JKM, semua mangsa ditempatkan di 32 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan Ribut Tropika Senyar yang melanda pesisir barat Semenanjung awal pagi semalam, dilaporkan tiada lagi di Malaysia.
Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 1,173 pusat pemindahan sementara dikenal pasti untuk menampung sehingga 244,000 penduduk berdepan ribut tersebut.


