Pelepasan air Empangan Tasik Subang terkawal, LUAS pantau rapi

29 Nov 2025, 7:10 AM
Pelepasan air Empangan Tasik Subang terkawal, LUAS pantau rapi

SHAH ALAM, 29 NOV: Pelepasan air Empangan Tasik Subang dibuat secara terkawal bagi menurunkan paras air untuk menampung kadar hujan berterusan ketika ini, kata EXCO infrastruktur.

Dato' Ir Izham Hashim berkata ia selaras pelan tindakan kecemasan bagi keselamatan dan integriti struktur empangan mengikut garis panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia.

"Situasi semasa di Empangan Tasik Subang adalah terkawal dengan pelepasan dipantau rapi Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, paras air empangan meningkat mendadak daripada 79.83 peratus takungan dengan ketinggian air 37.38m pada 24 November kepada 95.12 peratus (38.09m), jam 7 pagi keesokannya.

Jelasnya, paras air terus bertambah dengan ketinggian 38.57m pada 27 November dan mencecah 38.66m pada jam 1 pagi, semalam susulan kadar hujan luar biasa kesan Ribut Tropika Senyar.

Ir Izham turut menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat menerusi www.iwrims.luas.gov.my bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan situasi semasa empangan di seluruh negeri.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Ribut Tropika Senyar dilaporkan sudah ‘mati’ dan kesan yang tinggal cuma hujan.

Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan Ribut Tropika Senyar mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan tengah malam tadi, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65km/j.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 1,173 pusat pemindahan sementara dikenal pasti untuk menampung sehingga 244,000 penduduk berdepan ribut tersebut.