SHAH ALAM, 12 MEI: Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Medan Selera 223, Petaling Jaya dikenal pasti berpunca daripada sistem saliran sedia ada yang tidak lagi mampu menampung aliran air ketika hujan lebat.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata dapatan itu diperoleh hasil tinjauan teknikal serta perbincangan bersama agensi berkaitan di lokasi kejadian, yang mendapati keperluan segera untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan berkenaan.
“Kita telah meneliti sistem saliran sedia ada bersama pasukan teknikal untuk mengenal pasti punca utama kegagalan aliran air ketika hujan lebat.
“Hasil perbincangan di tapak mendapati sistem saliran di kawasan sekitar perlu dinaik taraf bagi memastikan aliran air lebih lancar,” katanya menerusi kenyataan Facebook.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan terjejas susulan kejadian banjir kilat yang melanda medan selera popular itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan agensi berkaitan supaya mengemukakan pelan tindakan segera bagi menangani isu berkenaan.
Izham berkata kejadian itu bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan peniaga, malah mengganggu keselesaan pengunjung di kawasan tumpuan tersebut.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri komited untuk menambah baik infrastruktur awam bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta mengelakkan kejadian sama berulang.
Tinjauan itu turut disertai Ketua Cabang KEADILAN Petaling Jaya, Hee Loy Sian; Penyelaras Dewan Negeri Taman Medan, Halimey Abu Bakar; wakil Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta pihak berkepentingan lain.







