Selangor bawa isu subsidi diesel jentera pertanian ke Kerajaan Persekutuan

4 Jun 2026, 9:02 AM
Selangor bawa isu subsidi diesel jentera pertanian ke Kerajaan Persekutuan
Selangor bawa isu subsidi diesel jentera pertanian ke Kerajaan Persekutuan
Selangor bawa isu subsidi diesel jentera pertanian ke Kerajaan Persekutuan

TANJUNG KARANG, 4 JUN: Kerajaan Negeri telah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan isu kenaikan kos operasi yang dihadapi pemilik jentera pertanian di Selangor susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim berkata perkara tersebut telah dibangkitkan kepada pihak berkaitan memandangkan jentera pertanian tidak termasuk dalam skim subsidi diesel Budi Madani ketika ini.

Katanya, hampir semua aktiviti pertanian bergantung kepada penggunaan jentera sebagai pengangkutan dan peralatan utama, sekali gus menjadikan diesel sebagai komponen penting dalam kos pengeluaran.

“Untuk mesin atau jentera pertanian tidak duduk dalam Budi Madani. Kita telah maklumkan kepada pihak atasan dan kerajaan supaya meneliti bagaimana mahu bantu skim subsidi

“Ini untuk membantu jentera ini dan supaya dapat kurangkan kos pengeluaran makanan. Ini membabitkan jaminan makananan yang memerlukan harga dapat dikekalkan.

“Saya sudah bawa ke atas, dan kita akan bawa lagi. Di peringkat negeri pun kita sedang lihat pakej kedua, dan kita akan teliti sekali isu berkait diesel ini untuk bantu kurangkan beban petani ini,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Jentera Pertanian kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPNS di Sungai Burong di sini, hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim melakukan gimik penyerahan dalam Majlis penyerahan jentera pertanian kepada Pertubuhan Peladang Selangor di Pusat Pengeluaran Benih Padi PPN Selangor, Sungai Burong, Tanjong Karang pada 4 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mac lalu, Kerajaan dilapor sedang mempertimbang cadangan menaikkan dan memperluas pemberian subsidi diesel kepada pemain industri pertanian termasuk pesawah, petani dan nelayan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor berkata, cadangan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai langkah segera untuk mengurangkan tekanan kos operasi sektor pengeluaran makanan negara.

Sementara itu, dalam majlis sama, Izham meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau operasi Pusat Pengeluaran Benih Padi PPNS yang kembali memulakan operasi semula selepas penutupannya pada 2018.

Beliau turut menyerahkan tiga jentera mesin tuai mini kepada PPNS bagi membantu mengurangkan tumpahan padi serta kerosakan tanah, sekali gus memperkukuh kapasiti operasi penuaian padi di wilayah utara Selangor.

“Sudah dua musim mereka kembali beroperasi dengan simpanan sehingga 600 tan benih padi. Mereka membelanjakan RM13.7 juta untuk pemulihan tempat ini dan berjaya mengeluarkan benih padi berkualiti,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.