KUALA LANGAT, 29 NOV: Media Selangor Sdn Bhd terus memperkukuh peranan sosialnya melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Media Selangor Masuk Kampung yang julung kali menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Tanjung Sepat, di sini hari ini.
Program yang menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti pengecatan mural bilik muzik, baik pulih gelanggang futsal, penanjuran bengkel pembuatan biskut, saringan kesihatan, penyerahan beg sekolah serta serahan bakul makanan dijalankan dengan sokongan padu rakan strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata inisiatif tersebut dilaksana bersama Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), SELGATE Corporation, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan peruntukan kira-kira RM30,500.
“Program seperti Media Selangor Masuk Kampung menjadi platform terbaik untuk kita turun mendekati masyarakat luar bandar yang kadang-kadang terlepas daripada radar program besar.
Kita mahu mereka merasakan kehadiran kita dan menerima manfaat secara langsung,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Media Selangor merancang memperluaskan program CSR pada tahun hadapan ke semua daerah bagi memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan.
“Sasaran kita ialah membawa program ini ke setiap daerah dengan tumpuan kepada pendidikan, kebajikan dan kesihatan. Kita mahu kakitangan bukan sahaja menghasilkan berita tetapi juga turun menyumbang kepada masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Media Selangor Noor Azam Shairi menjelaskan pembudayaan kerja sukarela merupakan pendekatan penting dalam organisasi tersebut.
“Setiap kakitangan diwajibkan memenuhi jumlah jam CSR tertentu setiap tahun. Ini bukan hanya kerja lapangan, tetapi nilai yang kita mahu pupuk bahawa media juga bertanggungjawab mendidik dan membantu masyarakat,” katanya.

Bagi Penerbit Digital Asri Sapfie, penyertaan pertamanya membuka perspektif baharu mengenai peranan sebenar petugas media.
“Selama ini tugas kami banyak berkisar pada liputan, namun melalui program ini kami sendiri menjadi pelaksana. Ia mendekatkan kami dengan masyarakat dan membantu memahami keperluan mereka secara lebih mendalam,” katanya.

Wartawan R Shalini pula mengakui pengalaman mendampingi komuniti Orang Asli memberi pendedahan berharga terutama dalam memahami budaya dan kehidupan mereka.
Program sehari itu turut disertai kira-kira 20 kakitangan Media Selangor yang bergotong-royong menyiapkan mural bertemakan alat muzik moden dan tradisional di bilik muzik kampung berkenaan.






