SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan enam kompaun ke atas beberapa premis makanan dan pasar raya dalam operasi pemantauan kebersihan di Bukit Beruntung, susulan aduan orang ramai terhadap tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Ops Target itu dilaksanakan Bahagian Inspektorat Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Perancangan Bandar (JPSPPA) MPHS bersama Jabatan Penguatkuasa, melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap premis yang berisiko menjejaskan keselamatan pengguna.
"Antara kesalahan yang dikesan termasuk premis beroperasi tanpa lesen MPHS, hurungan najis tikus di kawasan penyediaan makanan, pengendali makanan tidak mempunyai suntikan pelalian anti-tifoid, gagal menghadiri Kursus Pengendalian Makanan, serta ruang penyimpanan tidak bersih," maklumnya di Facebook.
Pemeriksaan turut menemui penggunaan papan pemotong kayu dan kotak telur yang boleh menyebabkan pencemaran silang, perangkap sisa tidak diselenggara, lantai dapur licin, penggunaan paip getah tidak mengikut piawaian serta tandas yang tidak memenuhi piawaian.
Susulan itu, empat kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establishment Makanan 2007 atas kesalahan tidak menyelenggara premis dalam keadaan bersih (UUK 15), melepaskan sisa makanan ke longkang awam (UUK 20) dan meletakkan makanan di lantai (UUK 27(2)). Dua lagi kompaun dikenakan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan (UUK 3(1)).
Dalam operasi sama, satu premis makanan dikenakan penutupan serta-merta selepas didapati berada jauh di bawah piawaian kebersihan dan terdapat kehadiran lipas, lalat dan tikus.
"Premis tersebut diarahkan ditutup selama 14 hari, bermula 27 November hingga 10 Disember bagi memberi ruang pembersihan menyeluruh sebelum pemeriksaan semula dilakukan," maklumnya.
MPHS berkata tindakan tegas itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna dan memupuk kesedaran pemilik premis supaya mematuhi standard kebersihan.
“Amalan kebersihan yang baik bukan sahaja melindungi kesihatan pelanggan, malah membantu memperkukuh imej perniagaan serta mewujudkan komuniti yang lebih selamat,” jelas kenyataan MPHS.
Operasi penguatkuasaan itu merupakan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan premis makanan di Hulu Selangor kekal bersih, selamat dan mematuhi piawaian.




