ad

Premis makanan kotor di Batang Kali diarah tutup, empat dikompaun

1 Nov 2025, 5:24 AM
Premis makanan kotor di Batang Kali diarah tutup, empat dikompaun
Premis makanan kotor di Batang Kali diarah tutup, empat dikompaun
Premis makanan kotor di Batang Kali diarah tutup, empat dikompaun

SHAH ALAM, 1 NOV: Sebuah premis makanan di Batang Kali diarahkan tutup serta-merta selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Dalam Ops Target yang dijalankan, MPHS turut mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM4,000 tanpa sebarang pengurangan terhadap premis berkenaan.

Notis penutupan selama 14 hari dikeluarkan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pemilik.

Menurut MPHS, pemeriksaan Bahagian Inspektorat, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) mendapati beberapa pelanggaran piawaian kebersihan, termasuk kehadiran lipas di kawasan penyimpanan makanan, ruang simpanan tidak teratur, sisa bahan mentah di lantai, bahan makanan diletakkan di lantai, serta najis ayam pada telur.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Pelesenan MPHS, dengan penyertaan seramai lapan anggota penguat kuasa.

MPHS memaklumkan tindakan itu diambil bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan agar lebih peka terhadap aspek kebersihan.

“Tahap kebersihan yang baik bukan sahaja menjamin kesihatan pengguna, malah turut meningkatkan imej perniagaan serta mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, pada September lalu, MPHS turut mengeluarkan notis penutupan terhadap sebuah premis makanan di Bukit Beruntung selepas pemeriksaan menemukan najis tikus di premis berkenaan.