SHAH ALAM, 28 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 4,366 orang daripada 1,208 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 4,149 orang daripada 1,137 keluarga pada 8 pagi tadi.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Sementara itu, Ribut Tropika Senyar yang melanda pesisir barat Semenanjung awal pagi semalam, dilaporkan sudah tiada di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tersebut boleh dikatakan sudah ‘mati’ dan kesannya yang tinggal cuma hujan sahaja.
Susulan itu, Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman ribut tropika, dengan keselamatan rakyat menjadi keutamaan memandangkan Selangor berdepan fenomena ini buat kali pertama dalam sejarah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan sejumlah 1,173 PPS telah dikenal pasti dan bersiap siaga untuk menampung sehingga 244,000 penduduk di seluruh negeri.





